
Sebanyak 76,000 ekor khinzir yang dijangkiti penyakit demam khinzir Afrika (ASF) akan dilupuskan sebelum akhir bulan ini, kata EXCO pertanian.
Dato’ Ir Izham Hashim berkata penghapusan dan pelupusan itu melibatkan ternakan di 56 ladang di Kuala Langat dan Sepang.
“Hasil pemeriksaan dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Selangor setakat 25 Februari lalu mendapati ternakan di 56 daripada 114 ladang khinzir dijangkiti penyakit tersebut dan selebihnya negatif.
“Kerja-kerja penghapusan dan pelupusan diteruskan walaupun pada bulan Ramadan dan kita sasar semua 76,000 ekor khinzir dilupuskan sebelum 31 Mac ini.

“Bagi ternakan yang tidak dijangkiti penyakit ini, pemindahan masih dibenarkan untuk tujuan penyembelihan di rumah penyembelihan dilesenkan,” katanya menerusi kenyataan.
Baru-baru ini, Izham memaklumkan tiga ladang khinzir di negeri ini disita selepas haiwan itu dijangkiti penyakit ASF selepas menerima aduan berkenaan wabak itu pada 22 Januari lalu.
Katanya, ladang berkenaan membabitkan dua di Sungai Blankan, Sepang dan satu di Kampung Tumbuk, Tanjong Sepat.
Sementara itu, beliau memaklumkan sebanyak 68 khinzir dianggarkan seberat 9,405.7 kilogram karkas khinzir telah disita melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953.
“Kesemua nilai rampasan dianggarkan dengan nilai sebanyak RM472,900. Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat setelah siasatan lengkap,” katanya.