
Agensi kerajaan akan mengendalikan pengauditan dan siasatan dalaman sebagai langkah mengesan pihak terbabit berkaitan isu pindah milik tanah secara tidak sah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan langkah sama juga berkemungkinan dilaksanakan di semua jabatan supaya ia dapat diatasi sepenuhnya dan tidak berulang.
Beliau berkata pihaknya turut memperketat tatacara operasi piawaian (SOP) sistem pengurusan tanah dalam talian (e-tanah) bagi memudahkan pengesanan kegiatan salah guna kuasa.

“Kita boleh kenal pasti siapa yang masuk dalam sistem dan bila masanya (guna sistem). Kita wajibkan mereka daftar nama pengguna supaya kemasukan mereka dapat dikesan.
“Sistem ini ada risiko juga. Jadi kalau kita dapat urus dengan baik, kita akan dapat kesan,” katanya selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini

Semalam, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menyarankan agensi kerajaan termasuk pejabat daerah dan tanah (PDT) melakukan audit serta siasatan dalaman bagi mengesan pihak lain yang terbabit kegiatan kartel pindah milik tanah.
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata pihaknya bersedia menjalankan siasatan menyeluruh sekiranya terdapat bukti mengaitkan PDT lain turut melakukan jenayah terbabit.
Media sebelum ini melaporkan seramai 17 individu ditahan dalam tangkapan berasingan sejak September tahun lalu berikutan disyaki terbabit kartel pindah milik tanah.
Setakat ini, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.
Pada 10 Januari, Ramli berkata kesemua yang ditahan berusia 33 hingga 57 tahun, dan sedang mengesan individu lain disyaki terlibat selain tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan dilakukan secara bersindiket dengan penglibatan ‘orang dalam’ di pejabat terbabit.
Minggu lalu, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor Datuk Yusri Zakariah mengesahkan tujuh kakitangan dari cawangan Klang ditahan polis untuk membantu siasatan.
Mereka juga dipindahkan ke Jabatan Sumber Manusia di Shah Alam, sementara menunggu siasatan penuh serta tidak dibenar menguruskan sebarang perkara berkaitan tanah. -SelangorKini