SelangorToday

SELANGOR CADANG KKM TUBUH TABUNG KHAS BANTU WARIS TUNTUT JENAZAH

Selangor mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan tabung kecemasan bagi membantu waris yang tidak berkemampuan untuk tuntutan jenazah di hospital.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dana itu boleh digunakan untuk kes tertentu seperti yang berlaku di sebuah hospital swasta di Klang, baru-baru ini supaya tidak berulang.

Mencadangkan perkara itu dijadikan polisi KKM di hospital kerajaan dan swasta, bagaimanapun, beliau menjelaskan ia perlu dikaji secara mendalam dan terperinci terlebih dahulu.

“Di peringkat negeri, pemberian bantuan boleh dibincangkan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Tabung boleh diurus bersama pihak hospital dan LZS.

“Di peringkat awal, secara tuntasnya belum diputuskan pihak mana yang perlu melaksanakan tabung ini, masih dalam cadangan,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Anfaal berkata pentadbiran negeri sentiasa mengikuti perkembangan kes tular membabitkan jenazah bayi lelaki yang dibekukan selama dua minggu dalam peti sejuk mayat.

Bagaimanapun, beliau menyarankan orang ramai tidak membuat spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kami bersedia menawarkan khidmat kaunseling kepada mereka (ibu bapa) jika diperlukan,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular jenazah bayi lelaki dibekukan dalam peti sejuk mayat di sebuah hospital swasta di Klang. dipercayai selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.-SelangorKini

Exit mobile version