Kapten Penang FC, Rafael Vitor harus menyalahkan diri sendiri selepas gol sendirinya menyaksikan Selangor FC menang tipis 1-0 pada separuh akhir pertama Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, di sini malam ini.
Skuad Gergasi Merah membawa pulang bekalan satu gol apabila Vitor tertampan masuk hantaran lintang pemain mereka Quentin Cheng pada minit ke-35.
Quentin sebelum itu menyelinap di bahagian sayap kanan sebelum cuba melakukan hantaran kepada Ronnie Fernandez tetapi Vitor yang cuba menghalang tertampan masuk ke pintu golnya sendiri.
Pelawat membawa masuk penyerang sensasi Faisal Halim dengan mengeluarkan Mukhairi Ajmal pada minit ke-53 namun usaha mereka untuk menambah jaringan tidak kesampaian.
Anak buah Katsuhito Kinoshi akhirnya terpaksa berpuas hati membawa pulang bekalan satu gol bagi aksi separuh akhir kedua pada 2 Februari ini. – Berita Harian