Site icon SelangorToday

SELANGOR GIAT TINGKAT KUALITI SUMBER AIR GUNA KAEDAH LEBIH KOMPREHENSIF

jamilah-1

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terus komited memastikan kualiti sumber air di seluruh negeri termasuk di kawasan Telok Gong berada pada tahap yang memuaskan dan lestari.

Sebagai langkah berterusan, LUAS telah melaksanakan River Monitoring Program (RMP) sejak April 2023, yang memberi tumpuan kepada pemantauan secara mikro terhadap kualiti ‘outfall’ atau aliran keluar yang memasuki sungai utama negeri. Di kawasan Sungai Telok Gong sahaja, sebanyak empat sesi pensampelan telah dijalankan setakat ini.

Tindakan susulan daripada hasil pemantauan tersebut telah diselaraskan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengikut bidang kuasa masing-masing.

Sebagai lanjutan daripada RMP, LUAS memulakan Inisiatif Pemuliharaan Kualiti Air di Telok Gong pada Disember 2024, melibatkan kawasan seperti Jalan Ikan Tampang, Jalan Udang Galah, dan Pos PGA Jeti Perajurit yang mengalir ke Sungai Langat dan Selat Lumut. Hasil awal menunjukkan peningkatan kualiti air, di mana Indeks Kualiti Air (IKA) kawasan tersebut kini berada pada Kelas Ketiga (Sederhana Tercemar), dan masih boleh digunakan untuk pembekalan air mentah dengan rawatan intensif.

Bagi memastikan kawalan lebih ketat terhadap pencemaran air, Kerajaan Negeri telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Pelepasan Bahan Pencemar (Selangor) 2024, atau lebih dikenali sebagai Dasar Pelepasan Sifar (Zero Discharge Policy – ZDP). Dasar ini memberi penekanan kepada kawal selia kuantiti dan kualiti air daripada sumber persekitaran, terutama di kawasan perindustrian.

Pelaksanaan dasar ini telah bermula di kawasan Telok Gong dengan kerjasama Persatuan Pekilang-Pekilang Telok Gong, serta sokongan Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, YB Azmizam Zaman Huri, menerusi satu sesi libat urus pada 5 Disember 2024. Taman Perindustrian Telok Gong menjadi kawasan pertama di Selangor yang melaksanakan ZDP secara rasmi.

Sehingga kini, sebanyak 92 lesen ZDP telah dikeluarkan kepada premis industri di kawasan tersebut. LUAS juga aktif memberi penerangan dan turun padang untuk memaklumkan pemilik premis berkenaan kewajipan lesen serta pengawalan pelepasan bahan dari premis ke persekitaran.

Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan ZDP bersama inisiatif bersepadu oleh LUAS, MBDK dan agensi berkaitan akan meningkatkan kualiti air di Telok Gong secara signifikan dalam jangka masa panjang.

Kerajaan Negeri Selangor juga menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan sumber air. Tindakan tegas akan diambil selaras dengan Seksyen 79(4), Enakmen LUAS 1999.

Exit mobile version