Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Ir. Izham Hashim menghargai peranan yang dimainkan oleh para sukarelawan khususnya melalui NGO mahupun pihak swasta dalam membantu menjaga kebersihan sungai. Berucap sempena Selangor International Business Summit(SIBS) 2023 di Kuala Lumpur Convention Centre, Izham menyinggung kepentingan khidmat komuniti dan masyarakat secara umumnya dalam menjaga kelestarian sungai.
Beliau yang turut menyampaikan sijil penghargaan kepada sukarelawan Selangor Maritime Gateway(SMG) itu mengucapkan tahniah kepada semua sukarelawan terlibat dalam penjagaan sungai sama ada secara langsung atau tidak. Untuk rekod, melalui beberapa fasa, SMG telah berjaya mengumpul sebanyak 75,000 tan metrik sampah dari Sungai Klang antara tahun 2016 hingga September 2021 sekali gus menjadikan sungai itu bukan lagi antara sungai paling kotor di dunia.
Pengerusi AMANAH Selangor itu mengharapkan rakyat Selangor dapat menjaga dan sentiasa memberi kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan sungai. Kebersihan sungai juga mempengaruhi jumlah banjir yang boleh merosakkan kemudahan serta perumahan di Selangor. Maka wajar semua pihak berganding bahu dalam memastikan sungai di Selangor terus bersih dan indah. – SelangorToday