Selangor FC (SFC) memastikan gelaran Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 menjadi milik mereka selepas menumbangkan wakil dari Laos, Young Elephants FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Dua kemenangan berturut-turut dilakar anak buah Nidzam Jamil itu membolehkan mereka mengungguli saingan dengan 14 mata keseluruhan selepas kemenangan ke atas Young Elephants FC membantu mereka menambah tujuh lagi mata.
Sebelum ini, mereka sudahpun mengutip tujuh mata hasil kemenangan besar 4-0 ke atas wakil dari Brunei, DPMM FC pada aksi pertama, Jumaat lalu.
Pada aksi terbabit, SFC tidak perlu menunggu lama untuk mendahului apabila hantaran Safuwan Baharudin disudahkan Alvin Fortes seawal minit kesembilan untuk gol pembukaan perlawanan.
Fortes yang meledak gol pembukaan SFC bertindak sebagai arkitek untuk gol kedua mereka apabila hantaran lintang dengan menggunakan ‘outside footnya’ ditanduk kemas Safuwan pada minit ke-35.
Bersambung babak kedua, SFC terus mengganas dengan gol ketiga selepas rembatan leret Faisal Halim menewaskan Anulak Vilaphonh buat kali ketiga pada minit ke-53.
Pemain gantian, Syahir Bashah pantas menyambut percubaan awal Alex Agyarkwa yang terkena tiang pada minit ke-73 untuk melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah.
Skuad ‘The Red Giants’ akan membuka kempen Liga Super 2024/25 dengan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 10 Mei ini. – Berita Harian