SelangorToday

SELANGOR KENAL PASTI 21 KOLAM BEKAS LOMBONG DIBANGUNKAN SEBAGAI TAKUNGAN AIR MENTAH

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim memaklumkan bahawa kerajaan negeri Selangor telah mengenalpasti 21 kolam bekas lombong yang terdapat di Selangor berpotensi untuk dibangunkan sebagai kolam takungan air. Menurut beliau, takungan air di kawasan yang berpotensi itu juga dijadikan sumber air mentah tambahan melalui inisiatif Skim Jaminan Air Mentah(SJAM). Melalui posting yang dimuat naik melalui laman sosial beliau, Izham menegaskan Selangor sebagai sebuah negeri berkepadatan penduduk tinggi mencecah 7 juta orang, pastinya memerlukan kesediaan kerajaan negeri untuk menghadapi cabaran pengurusan agar bekalan air terawat mencukupi.

Pengerusi AMANAH Selangor itu turut menambah, perubahan iklim yang berlaku dengan keadaan ekstrim mendorong kerajaan negeri mencari pelbagai inisiatif bukan sahaja untuk rakyat negeri Selangor tetapi juga melibatkan pendudukan Wilayah Kuala Lumpur dan Putrajaya. Posting tersebut dimuat naik sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Tasik Pandan Perdana, Ampang anjuran Lembaga Urus Air Selangor(LUAS) dengan kerjasama MPAJ. Majlis tersebut dirasmikan oleh Dato Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Hari Air Sedunia tahun ini diadakan bagi memperbaharui tekad dan fokus terhadap kepentingan dan manfaat pengurusan air bagi keamanan. Melalui kerjasama secara berkesan dan mengelak pertikaian berkaitan air mampu menjamin fokus yang ditetapkan tercapai sering dengan temannya tahun ini iaitu ‘Air untuk Keamanan’.

Turut bersama dalam majlis tersebut ialah Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin. Yang Dipertua MPAJ, Dr. Ani binti Ahmad, Pengarah LUAS, Ts. Hj Hasrolnizam bin Shaari dan ketua-ketua jabatan diperingkat negeri dan daerah. – SelangorToday

Exit mobile version