SelangorToday

SELANGOR KOMITED SEDIA LATIHAN DAN PENEMPATAN KERJA KEPADA OKU DEWASA

Kerajaan Negeri Selangor komited membantu golongan Orang Kurang Upaya(OKU) dewasa untuk mendapat latihan dan penempatan pekerjaan. Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari memaklumkan melalui program Independent Living Support Centre(ILSC), belia OKU yang berumur 17 tahun hingga 25 tahun akan diberikan latihan pekerjaan serta penempatan pekerjaan selepas tamat latihan. Katanya, program yang dikelolakan melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor(AnIS) dan Yayasan Warisan Anak Selangor(YAWAS) telah pun bermula pada tahun 2022.

Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Taman Templer menjelaskan program tersebut menyediakan latihan kepada peserta yang terpilih selama tiga hingga enam bulan dengan pembiayaan geran ILSC. Setelah mereka mendapat tawaran pekerjaan, Job Coaching disediakan kepada peserta OKU dewasa ini agar mereka terus mendapat tawaran pekerjaan yang ditawarkan. Sementara itu, beliau menambah kerajaan negeri turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk PERKESO, Kemahiran Belia Negara dan Badan NGO untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada OKU. Seramai 25 daripada 35 orang pelajar ILSC ditawarkan pekerjaan melalui PERKESO.

Walaubagaimana pun, Timbalan Ketua Wanita AMANAH itu memaklumkan, bahawa penyertaan bantuan dan skim perniagaan yang disediakan oleh kerajaan negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang adalah terbuka kepada semua termasuk golongan OKU dan ibu tunggal. Langkah ini membolehkan golongan OKU menjalankan perniagaan untuk menjana pendapatan mereka sama ada melalui Program Bantuan ‘BluePrint’ Pembasmian Kemiskinan, Geran Dana Usahawan Madani Selangor(DUMS) serta Skim Hijrah Mikro Kredit. Anfaal berkata demikian ketika menjawab pentanyaan lisan daripada ADN Sungai Kandis, Wan Dzahanurin bin Ahmad di Dewan Negeri Selangor. – SelangorToday

Exit mobile version