SelangorToday

Selangor Laksana Latihan Job Coach & DET Perkasa Pengambilan OKU di Tempat Kerja

[DN Selangor] — Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh agenda pemberdayaan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pelaksanaan Latihan Job Coach di bawah Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), demikian menurut ucapan penggulungan EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari di Dewan Negeri Selangor.

Latihan Job Coach itu menyediakan kemahiran kepada sukarelawan dan majikan bagi membantu OKU menyesuaikan diri di tempat kerja. Jurulatih pekerjaan ini berperanan memastikan kebajikan pekerja OKU terpelihara selain memupuk hubungan baik antara pekerja dan majikan.

Selain itu, YANIS bersama Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) turut melaksanakan Program Disability Equality Training (DET) bagi meningkatkan kesiapsiagaan majikan, khususnya anak-anak syarikat kerajaan negeri, dalam mengambil OKU bekerja. Melalui program berkenaan, majikan didedahkan kepada langkah mewujudkan suasana kerja yang inklusif, termasuk keperluan mengubah dasar syarikat serta menaik taraf infrastruktur bagi memudahkan akses OKU.

Dalam sesi penggulungan itu, Anfaal turut mengakui isu penurunan peruntukan bagi inisiatif OKU seperti dibangkitkan oleh ADN Batu Tiga. Namun, beliau memaklumkan perkembangan positif apabila Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah meluluskan tambahan RM400,000 bagi Bantuan Khas ANIS susulan permintaan tinggi dalam kalangan OKU dan penjaga mereka.

Bagi belanjawan 2026, Anfaal memberi jaminan bahawa pihaknya akan membawa keperluan penambahan peruntukan ke mesyuarat bersama UPEN, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PNS) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi memastikan program di bawah MTOS dan YANIS terus berkembang tanpa sebarang gangguan.

Exit mobile version