
Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, dengan pelaksanaan oleh Wanita Berdaya Selangor (WBS), telah melancarkan Program #USAHANITADIGITAL, sebuah inisiatif yang bertujuan memperkasa usahawan wanita muda dalam bidang pemasaran digital dan e-dagang. Program ini kini memasuki tahun kedua penganjurannya, dan dijangka memberi impak besar dalam mengembangkan potensi usahawan wanita muda di Selangor.
Majlis pelancaran yang berlangsung dengan meriah di Dewan Perdana, Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, dihadiri oleh barisan tenaga pengajar dan rakan strategik dalam industri digital. Program ini merupakan kesinambungan daripada program serupa yang dilaksanakan pada tahun 2024. Pada tahun ini, program ini mengalami penambahbaikan bagi memastikan penyertaan lebih banyak usahawan wanita muda dengan sokongan yang lebih komprehensif.
Anfaal Saari, EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, dalam ucapan perasmiannya menegaskan kepentingan memperkukuh keupayaan usahawan wanita muda dalam menghadapi transformasi digital yang pesat. “Program ini bukan hanya sebuah platform latihan, tetapi juga medan pemerkasaan yang menyediakan bimbingan menyeluruh kepada wanita muda untuk menjadi usahawan digital yang berdaya saing. Ia juga membuka peluang pasaran, sokongan industri, serta jaringan kolaboratif yang luas,” kata beliau.
Beliau juga menyentuh tentang cabaran ekonomi dunia yang tidak menentu, di mana wanita di Selangor, khasnya, perlu memanfaatkan peluang dalam dunia digital untuk meningkatkan pendapatan keluarga mereka. Menurutnya, kajian pada tahun 2023 menunjukkan hanya 20% daripada golongan usahawan adalah wanita, meskipun wanita mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam bidang keusahawanan.
“Keusahawanan digital membolehkan wanita menjalankan perniagaan secara atas talian dengan lebih fleksibel, tanpa perlu meninggalkan tanggungjawab domestik mereka. Oleh itu, program ini merupakan satu inisiatif yang tepat dalam membantu wanita menembusi dunia keusahawanan digital,” tambah Anfaal.

Sementara itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara WBS dan rakan kolaborasi strategik seperti Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Yayasan Hijrah Selangor, Yayasan Peneraju, dan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC). Kerjasama ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan digital wanita di negeri Selangor.
Program ini menerima sambutan yang sangat baik, dengan 226 permohonan diterima dan 203 usahawan wanita muda terpilih untuk menyertai latihan intensif yang berlangsung selama tiga bulan bermula April hingga Jun 2025. Program ini melibatkan bengkel, sesi bimbingan bersama pakar industri, serta latihan dalam pemasaran digital dan e-dagang. Peserta juga berpeluang untuk menerima geran padanan perniagaan, lawatan industri, dan pengiktirafan khas, selain daripada peluang untuk menjadi Ikon Usahanita Digital dengan hadiah wang tunai dan peluang lawatan industri ke luar negara.
Timbalan Ketua Wanita AMANAH itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakan kolaborasi atas sokongan mereka dalam menjayakan program ini, dan berharap usaha ini akan terus membantu meningkatkan sosioekonomi wanita di Selangor. “Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa komited dan konsisten dalam memperteguh agenda meningkatkan ekonomi wanita dan memastikan mereka terlibat dalam apa jua bidang untuk mencapai kesaksamaan gender dan keadilan sosial,” kata beliau menutup ucapannya.
Untuk maklumat lanjut atau pertanyaan media, sila hubungi:
Cik Farah Nadirah Mohd Salahuddin
Wanita Berdaya Selangor
Telefon: 019-2982771
Emel: [email protected]