Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pendaftaran pusat tahfiz sehingga hujung tahun ini, kata Exco Hal Ehwal Agama Selangor. Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata lanjutan itu susulan mahu memberi tempoh secukupnya untuk pemilik tahfiz melengkapkan proses pendaftaran.
“Pihak berkuasa tempatan sudah memberi taklimat tetapi yang hantar permohonan untuk disemak kepatuhan dan syarat-syarat ditetapkan masih belum menggalakkan. Saya juga mohon Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) lihat dan bantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ditemui pada Program Ijtimak Huffaz Selangor Ke-15 di Dewan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam. ADN Sungai Kandis itu memaklumkan setakat ini jumlah yang dikenal pasti berdaftar lebih daripada 300 pusat tahfiz.
“Sebab itu kita perlu mereka daftar dan buat semakan bagi mengetahui masih aktif atau sebaliknya. Mungkin ada ditutup disebabkan pandemik,” katanya.