Kerajaan Selangor membelanjakan sejumlah RM46,600 bagi membantu pekerja e-panggilan dan p-panggilan mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun ini. Exco Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau berkata caruman RM46.60 setahun melalui Pelan Dua Skim Pekerjaan Sendiri (SPS) memanfaatkan 1,000 pekerja dalam sektor terbabit.
Menurutnya inisiatif diambil bagi memelihara keselamatan pekerja industri berkenaan selepas menyedari ramai kalangan mereka belum mencarum dalam sebarang skim perlindungan. “Kita mengambil peluang untuk turut serta dalam program khas diwujudkan Perkeso ini memandangkan kebanyakan mereka adalah pekerja sendirian dan tiada perlindungan insurans.” katanya.
Ganabatirau menambah pihaknya melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) bercadang untuk menambah kuota penerima manfaat tersebut pada tahun depan susulan sambutan menggalakkan. Beliau juga menyaran majikan untuk memberikan subsidi perlindungan sedemikian kepada pekerja berikutan peningkatan kadar kemalangan membabitkan golongan itu.