SelangorToday

SELANGOR MENGORAK LANGKAH, MAJLIS PERUNDINGAN EKONOMI PENJAGAAN DITUBUHKAN

Negeri Selangor terus mengorak langkah dalam memperkasakan sektor Ekonomi Penjagaan dengan menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi Penjagaan(MEPS) Negeri Selangor. Sebagai sektor yang mula menjadi tumpuan menjelang Malaysia menuju negara menua, Anfaal Saari selaku Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor memaklumkan MEPS akan menjadi badan pemikir utama yang memberikan saranan kepada pembangunan ekonomi penjagaan atau isu berkaitan. Dalam masa yang sama, seiring dengan visi ekonomi penjagaan Selangor iaitu ‘Selangor sebagai peneraju ekonomi penjagaan yang inklusif, mapan dan berdaya tahan’, MEPS juga turut berperanan memantau pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor yang bakal dilancarkan November 2024.

Anfaal yang juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH Nasional itu turut mengumumkan lima Exco Kerajaan Negeri Selangor yang lain juga menganggotai majlis tersebut iaitu Ng Sze Han(Exco Pelaburan), Ng Suee Lim(Exco Kerajaan Tempatan), Jamaliah Jamaluddin(Exco Kesihatan Awam), Papparaidu(Exco Sumber Manusia) dan Dr. Mohammad Fahmi Ngah(Exco Pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi). Ketika berucap, Anfaal menekankan sektor ekonomi penjagaan tidak akan mampu berjalan dengan baik jika usaha tersebut hanya kepada beliau seorang, namun yang lebih bermakna apabila pendekatan ‘whole of nation’ dan ‘whole of goverment’ diambil. Banyak contoh-contoh yang Anfaal berikan untuk membuktikan dasar ini akan berjaya apabila ia mempunyai kerjasama dengan agensi lain, misalnya penjagaan warga emas akan saling berkait dengan kesihatan awam yang dipimpin oleh Jamaliah Jamaluddin selaku Exconya.

Ahli Dewan Negeri Taman Templer itu berharap ahli MEPS dapat memberikan komitmen kepada majlis ini kerana ahli majlis yang dilantik merupakan ‘enabler’ kepada portfolio ekonomi penjagaan. Anfaal mengucapkan ribuan terima kash kepada semua khususnya yang dilantik atas kesediaan mereka menyumbang idea dan kepakaran dalam membangunkan Negeri Selangor. – SelangorToday

Exit mobile version