Kerajaan negeri menerusi beberapa anak syarikat termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa syarikat teknologi di Jerman untuk memajukan lagi negeri itu. Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata MoU itu yang membabitkan syarikat teknologi seperti Siemens, KNX dan Mendix, ditandatangani ketika beliau bersama delegasi Malaysia melawat Jerman baru-baru ini bagi menyertai Hannover Messe iaitu forum dan pameran teknologi.
“Ini semua memberikan peluang untuk meningkatkan sumber manusia dalam negeri kita di samping menambah pelaburan bernilai tinggi dan mampu membawa peluang pekerjaan kepada semua rakyat di Selangor,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Riuh Raya #KitaSelangor 2024, malam tadi.
Amirudin juga berkata, Selangor terbuka menjadi “rumah” dan “payung” kepada semua rakyat yang berhijrah ke negeri itu atas semangat kebersamaan serta perpaduan. – Sumber FMT