Selangor menggunakan khidmat anak syarikat Kerajaan Negeri yang memiliki kepakaran dalam teknologi, Selgem Sdn Bhd (Selgem) bagi mengesan lokasi cerun berisiko. Exco Infrastruktur & Pertanian Selangor Ir Izham Hashim berkata banyak cerun di negeri ini perlu dinilai semula memandangkan struktur tanah longgar akibat hujan lebat dengan taburan luar biasa.
Kata Pengerusi AMANAH Selangor itu “Sesetengah cerun tunggu masa untuk runtuh. Jadi kita kena kaji dan nilai tahap risikonya sama ada kritikal, pertengahan atau biasa supaya tindakan segera dibuat. “Contoh kejadian Bukit Permai (Ampang). Tak ada amaran atau tanda untuk runtuh,” katanya selepas merasmikan Kelong Paradise Waterfront Resort di sini, hari ini.
Jelasnya satu mesyuarat khas cerun bakal dilaksana dalam masa terdekat memandangkan ketika ini tiada penyelarasan khusus berhubung masalah itu. Pada 11 Mac, ADN Pandan Indah itu memaklumkan lebih 150 cerun dikenal pasti berisiko tinggi untuk runtuh terutama sekitar Gombak, Ampang dan Hulu Langat. Beliau berkata cerun terbabit menjadi tidak stabil akibat air hujan melampau selain banjir yang melanda pada Disember lalu.