SelangorToday

SELANGOR PANTAU RUMAH KEBAJIKAN KANAK-KANAK, PASTIKAN WARGANYA TERBELA – ANFAAL

Kerajaan Negeri akan memastikan kawalan dan pemantauan rumah kebajikan kanak-kanak dipertingkat bagi memastikan kebajikan dan keselamatan warganya terjamin.

EXCO Kebajikan Masyarakat berkata tindakan itu diambil bagi memastikan kejadian eksplotasi kanak-kanak di puluhan rumah kebajikan seperti didedahkan baru-baru ini tidak berulang.

“Kerajaan Negeri mengutuk sekeras-kerasnya kejadian eksploitasi kanak-kanak yang berlaku ketika ini. Kita tidak mahu perkara ini terus berulang,

“Jadi Kerajaan Negeri akan memastikan kebajikan kanak-kanak yang menghuni rumah kebajikan terbela dan mereka mendapat hak yang sepatutnya” kata Anfaal Saari ketika dihubungi.

Kelmarin, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama melalui Op Global.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata terdiri 66 lelaki dan 105 wanita iaitu penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal, semuanya berusia lingkungan 17 hingga 64 tahun.

Menurut beliau, 402 kanak-kanak, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara setahun hingga 17 tahun diselamatkan dan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Anfaal berkata sebahagian mangsa sudah dipindah ke pusat kebajikan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat sekitar negeri ini.

“Semuanya masih dalam siasatan termasuk tindakan mahkamah. Pentadbiran sedia memberi kerjasama mengikut kesesuaian dan keperluan. Kita juga sedang mengatur ziarah untuk memahami lebih lanjut keperluan dan keadaan mangsa,” katanya. – SelangorKini

Exit mobile version