
Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan semua projek tebatan banjir di kawasan titik panas dipercepatkan bagi memastikan insiden banjir berulang dapat dielakkan, terutamanya menjelang musim hujan.
EXCO Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata arahan tersebut disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang berlangsung semalam.
“Antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat ialah berkaitan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi. Sehubungan itu, EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim akan turun padang dan menyelaras secara langsung pelaksanaan projek bersama agensi dan jabatan berkaitan supaya tiada kelewatan,” katanya kepada media.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelbagai projek tebatan dan kini memerlukan komitmen serta tindakan segera daripada semua pihak pelaksana bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Kerajaan Negeri telah membuat keputusan dan pengumuman pelaksanaan. Maka, agensi pelaksana perlu mempercepatkan proses teknikal, perolehan, dan pelaksanaan agar sekiranya berlaku hujan lebat atau banjir, projek tebatan telah berjalan dan memberikan impak,” tambahnya.
Mohd Najwan ditemui selepas menghadiri Majlis Aidilfitri bersama para usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor), yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Mearia Hamzah.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti (JPK–Infragro) mengesahkan bahawa tiada pembatalan dilakukan terhadap mana-mana projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT) yang telah dirancang dan diluluskan.
Pengerusinya, Michelle Ng Mei Sze menjelaskan bahawa semua projek terbabit telah melalui proses lantikan secara telus menerusi tender pra kelayakan terpilih.

Berikut adalah senarai lima projek utama tebatan banjir berkeutamaan tinggi (TBBT) yang sedang dilaksanakan:
1. Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Klang – RM140.7 juta
Melibatkan kerja-kerja pelebaran sungai, pembinaan tembok banjir, dan sistem saliran tambahan untuk mengurangkan limpahan air ke kawasan perumahan berdekatan.
2. RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar Besar – RM219 juta
Projek ini memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan naik taraf sistem saliran utama serta pembinaan kolam takungan sementara.
3. RTB Sungai Langat Fasa 2 – RM684.6 juta
Merangkumi pembinaan infrastruktur kawalan banjir secara berfasa di sepanjang lembangan Sungai Langat yang sering mengalami banjir kilat.
4. Pembinaan Kolam Takungan Dwi Fungsi – RM662.5 juta
Kolam ini bukan sahaja berfungsi sebagai takungan air ketika hujan lebat, tetapi juga akan digunakan untuk rekreasi apabila cuaca kering.
5. RTB Sungai Damansara – RM551.8 juta
Fokus projek ini ialah pada pelebaran sungai, pembinaan rumah pam dan sistem saliran pintar bagi mengawal aras air sungai secara automatik.
Kerajaan Negeri menjangkakan kesemua projek ini akan memberi kesan positif dalam pengurusan risiko banjir di Selangor, sekali gus mengurangkan impak terhadap rakyat dan ekonomi negeri