SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor menggerakkan langkah segera bagi menangani risiko banjir di 67 kawasan hotspot dan 286 lokasi berisiko tinggi di seluruh negeri susulan cabaran berterusan melibatkan sistem saliran, halangan utiliti di sungai dan pembangunan tanah tanpa kawalan.

Exco Pertanian dan Infrastruktur, Ir. Izham Hashim berkata, mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikannya hari ini di Bilik Mesyuarat Cempaka, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, menghimpunkan pelbagai agensi kritikal termasuk TNB, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), West Coast Expressway (WCE), PLUS, KESAS, LKSA, Air Selangor, JKR, Indah Water Konsortium (IWK), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Antara langkah segera yang diputuskan ialah menaik taraf sistem saliran dan benteng sungai di kawasan kritikal, pembinaan flap gate dan pump house di lokasi strategik, penyelenggaraan berkala sungai serta kolam takungan, selain penyelarasan teknikal menyeluruh antara agensi.

“Banjir adalah isu kompleks yang memerlukan data teknikal dikongsi, tindakan diselaras dan pelaksanaan dipercepatkan. Dengan komitmen semua pihak, saya yakin risiko banjir di Selangor dapat dikurangkan secara signifikan,” tegasnya.
Mesyuarat tersebut turut menekankan tindakan bersepadu bagi mengelakkan limpahan loji kumbahan ke kawasan perumahan serta memastikan saliran lebuh raya berfungsi pada tahap optimum.