
Kerajaan Negeri Selangor terus komited memperkukuh kedudukan sebagai hab digital utama negara dengan mempengerusikan Mesyuarat Task Force Penyediaan Infrastruktur bagi Keperluan Data Centre yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam semalam.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan melibatkan penyertaan pelbagai agensi strategik termasuk Seksyen Makro dan Penswastaan, Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) UPEN Selangor, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang, Pengurusan Air Selangor, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL).
Mesyuarat ini bertujuan menyelaras serta menyelesaikan isu-isu teknikal dan pelaksanaan berkaitan penyediaan infrastruktur bagi projek-projek Data Centre yang sedang dan akan dibangunkan di negeri Selangor.

Setakat ini, Selangor telah menarik pelaburan besar berjumlah RM52 bilion dalam tempoh 10 tahun melalui pelaksanaan 17 projek Data Centre oleh syarikat-syarikat gergasi teknologi global. Antara pelabur utama termasuk:
- Google di Sungai Buloh
- NextDC di Petaling Jaya
- Vantage Data Centre, Bridge Data Centre, Equinix, NTT Global Data Centre, Microsoft EdgeConneX, dan ST Telemedia Global Data Centre di Cyberjaya
- HeiTech Padu di Shah Alam
Bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran pelaksanaan projek-projek ini, Kerajaan Negeri menerusi UPEN akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Infrastruktur Data Centre yang berfungsi sebagai platform koordinasi antara semua pemain utiliti dan agensi berkaitan.
Langkah ini merupakan antara strategi proaktif kerajaan negeri dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital dan menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ke Selangor, selaras dengan aspirasi menjadi negeri pintar menjelang 2025.
Kerajaan Negeri Selangor akan terus memastikan setiap inisiatif pembangunan ekonomi dirancang dengan teliti dan dilaksanakan secara bersepadu demi kemakmuran rakyat dan kemajuan negeri.