Selangor memperkenal program Operator HIS Diperakui (AHO) bagi menghimpun pemain industri halal bawah satu platform digital setempat mulai 13 Jun.
EXCO industri halal berkata inisiatif bawah HIS Toyyiba Sdn Bhd (HIS) mewujudkan jaringan pemain halal yang kompeten dan berintegriti selaras Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut berharap program itu dapat meningkatkan mutu persaingan dan kualiti usahawan, selain melahirkan lebih ramai pemain industri dalam sektor berkenaan.
“Beberapa program promosi halal dalam dan luar negara akan diadakan dalam usaha Kerajaan Negeri membantu pemain industri halal di Selangor untuk menembusi pasaran.
“Semua ini akan memberi manfaat kepada ahli-ahli yang berdaftar dengan AHO,” katanya ketika melancarkan program berkenaan di sini, bulan lalu.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, HIS memaklumkan ahli AHO akan dibimbing agensi kerajaan berkaitan dan diberi keistimewaan untuk terlibat dalam padanan niaga serta e-pengiklanan produk.
Menurut agensi bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) itu, ahli juga boleh membuka reruai dalam pameran halal tempatan dan antarabangsa serta dimaklumkan perkembangan terkini halal global.
“Sebagai permulaan, HIS menawarkan keahlian percuma kepada 100 syarikat terawal yang berdaftar secara dalam talian di aho.halalinternationalselangor.com sebelum 30 September ini,” kata HIS.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghantar e-mel kepada infohalalinternationalselangor.com atau hubungi talian 03-587 04888.