 
                SHAH ALAM, 4 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan inisiatif Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) sebagai kerangka utama dalam memperkukuh pelaksanaan dasar negeri dan menyelaras pelbagai dasar Kerajaan Persekutuan.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Auditorium Dewan Jubli Perak disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, yang menegaskan bahawa RSTU merupakan langkah menyeluruh ke arah pentadbiran lebih cekap, berimpak dan berintegriti tinggi.

“RSTU memberi tumpuan kepada lima objektif utama yang disokong oleh lapan fokus strategik iaitu: tadbir urus dan integriti; reformasi penyampaian; pemecahan budaya silo; reformasi aduan; pembangunan modal insan berdaya saing; pemerkasaan akar umbi; pengukuran serta pemantauan program; dan penilaian berasaskan hasil,” katanya.
Menurut beliau, kerangka baharu ini akan memastikan sistem penyampaian kerajaan negeri menjadi lebih cekap dan pantas, namun tetap berlandaskan prinsip akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.
“Fokus RSTU adalah mempercepatkan keberhasilan dasar, tanpa menjejaskan integriti pegawai dan jabatan. Kita mahu penyampaian yang responsif dan tuntas,” ujar Amirudin ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Dalam ucapannya di hadapan lebih 1,000 penjawat awam negeri, beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan reformasi ini tidak bersifat mendadak, sebaliknya dilakukan secara berperingkat dan terancang, demi membentuk budaya pentadbiran yang lebih progresif.
Amirudin turut menegaskan bahawa perubahan yang dibawa tidak menyentuh asas-asas utama negara seperti Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Bumiputera dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan – elemen yang menurutnya tidak wajar diganggu kerana boleh menggugat kestabilan negara.

“Reformasi ini menuntut kefahaman baharu dalam pelaksanaan dasar, tetapi tidak sekali-kali menjejaskan tonggak utama Perlembagaan. Kita mahu maju, tetapi dengan akar yang kukuh,” tambah beliau.
RSTU dijangka menjadi pemacu kepada perkhidmatan awam yang lebih berdaya tahan, inklusif serta berpaksikan hasil untuk manfaat rakyat Selangor.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            