[DN Selangor] Isu keterjaminan makanan menjadi tumpuan dalam sesi Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini apabila Ketua Pembangkang, (Hulu Kelang), membangkitkan persoalan mengenai tekanan krisis global serta kenaikan harga minyak mentah terhadap bekalan makanan negeri.
Menjawab soalan tersebut, Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, menegaskan bahawa kerajaan negeri telah merangka beberapa langkah strategik bagi memastikan bekalan makanan kekal mencukupi dan stabil.
Menurut beliau, antara fokus utama adalah memastikan kelangsungan golongan warga tani termasuk pesawah, petani dan nelayan. Kerajaan negeri, katanya, bersedia menyediakan pengukuhan dana tambahan sekiranya golongan ini terjejas akibat tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Bagi mereka yang tidak menerima subsidi, kerajaan negeri turut menyediakan sokongan khusus supaya mereka terus mampu beroperasi dan menyumbang kepada pengeluaran makanan,” jelasnya.
Izham turut menyentuh isu kenaikan harga baja yang memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran pertanian. Sebagai langkah mitigasi, kerajaan negeri kini giat mencari alternatif termasuk penggunaan baja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Selain itu, kenaikan kos makanan ternakan juga diberi perhatian, dengan kerajaan negeri menyediakan bantuan pemberian makanan ternakan kepada penternak bagi memastikan sektor tersebut tidak terjejas.
Dalam aspek rantaian bekalan makanan, beliau menekankan kepentingan memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan dengan berkesan, sekali gus mengelakkan pembaziran dan memastikan pulangan kepada pengusaha.
“Kerajaan negeri juga sedang meningkatkan kapasiti gudang makanan serta stok penimbal bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan akibat faktor luar,” katanya.
Langkah-langkah ini, menurut Izham, merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Selangor dalam memperkukuh sistem makanan negeri agar lebih berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.

