
SHAH ALAM, 26 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa usahawan wanita dengan memberi ruang dan peluang kepada 81 peserta memasarkan produk serta inovasi masing-masing menerusi Bazar Usahanita Digital yang berlangsung di pusat beli-belah Central i-City hari ini.
Program anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) ini merupakan antara inisiatif strategik negeri dalam memacu keterlibatan wanita dalam bidang keusahawanan, khususnya menerusi pendekatan ekonomi digital yang kian relevan.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, program ini bukan sahaja membuka ruang pasaran kepada usahawan wanita, tetapi turut menyediakan ekosistem sokongan yang merangkumi latihan, bimbingan dan pemantapan kemahiran digital.

“Melalui Bazar Usahanita Digital, peserta bukan sekadar mempamerkan produk mereka kepada umum, malah dibimbing oleh pakar industri dalam aspek pemasaran digital, penjenamaan dan pembangunan perniagaan yang mampan.
“Ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor untuk membina jaringan sokongan kukuh bagi usahawan wanita agar mereka bukan sahaja mampu bersaing di pasaran tempatan, tetapi juga bersedia menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya selepas merasmikan program tersebut.
Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron dan Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Samad.
Menurut Anfaal, sebanyak 226 permohonan diterima dan 203 peserta terpilih menyertai Fasa 1 yang melibatkan bengkel latihan asas. Daripada jumlah itu, 120 peserta disaring ke Fasa 2 yang memberi penekanan kepada aspek teknikal seperti rekaan grafik, pemasaran digital dan pembangunan laman sesawang.
Kini memasuki Fasa 3, sebanyak 81 peserta menyertai Bazar Usahanita Digital, dan hanya 50 terbaik akan disenarai pendek ke peringkat akhir.

“Kemuncaknya, kita akan menobatkan 10 Ikon Usahanita Selangor yang bakal menerima geran padanan perniagaan, lawatan industri serta sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka,” jelasnya.
Program ini turut mendapat sokongan pelbagai agensi seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI Selangor], Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Yayasan Peneraju, serta Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), yang memperkukuh lagi komitmen Selangor dalam melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya saing dan berdaya tahan.