Shah Alam, 21 Mei – Kerajaan Negeri Selangor terus melangkah ke hadapan dalam memperkasa agenda kebajikan rakyat menerusi pelancaran Skim Khairat Darul Ehsan (KDE), satu inisiatif baharu yang dirangka khusus bagi memastikan lebih ramai golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima manfaat pampasan kematian sebanyak RM1,000.
Menurut EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Anfaal Saari, KDE merupakan satu penambahbaikan penting yang menggabungkan elemen daripada pelbagai skim sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Iltizam Sihat Selangor (ISS), dan Skim Insurans Am Selangor (INSAN).
“Skim ini bukan sahaja memperkukuh jaringan perlindungan sosial sedia ada, malah memberi ruang kepada lebih ramai rakyat Selangor, terutamanya dalam kalangan warga emas dan OKU, untuk menerima manfaat sewajarnya pada saat mereka memerlukannya,” jelas beliau.
YB Anfaal menegaskan bahawa KDE direka bentuk dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan inklusif, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada akses bantuan kebajikan asas.
“KDE adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menyantuni keluarga yang kehilangan orang tersayang. Ia bukan hanya soal pampasan, tetapi juga tanda solidariti dan kasih sayang negeri kepada rakyatnya,” tambah beliau.

Melalui Belanjawan Selangor 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM20 juta bagi melaksanakan KDE, dengan sasaran 20,000 penerima sepanjang tahun ini.
Sebelum ini, bantuan khairat kematian di bawah SMUE pernah dihentikan pada Mei 2019, namun disambung semula pada 2021 dengan kadar bantuan RM500 dan peruntukan RM7.5 juta. KDE kini tampil sebagai penambahbaikan menyeluruh, bukan sahaja dari segi kadar bantuan tetapi juga dari segi tatakelola pelaksanaan dan sistem penyampaian.
“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk memperkukuh dasar kebajikan dan memastikan setiap rakyat Selangor merasai kehadiran kerajaan dalam kehidupan mereka, terutamanya dalam saat-saat yang paling mencabar,” kata YB Anfaal.
Kerajaan Negeri optimis bahawa KDE akan menjadi pemangkin kepada usaha memperluas perlindungan sosial rakyat serta mencerminkan dasar keprihatinan dan keberdayaan Selangor dalam membina negeri yang inklusif dan sejahtera.