[DN Selangor] SHAH ALAM, 17 NOV — Kerajaan Negeri Selangor menggerakkan kesiapsiagaan banjir secara menyeluruh menjelang Monsun Timur Laut, melibatkan tindakan teknikal, projek mitigasi besar dan pelaksanaan kerja segera di seluruh daerah.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim berkata, persiapan banjir negeri berada dalam keadaan teratur melalui empat mesyuarat utama setiap tahun. Ia merangkumi dua mesyuarat Task Force Banjir yang diadakan setiap tiga bulan dan dua mesyuarat di bawah Skim Jaminan Air Mentah. Selain itu, satu mesyuarat khas akan diadakan apabila memasuki musim tengkujuh sekitar September atau Oktober. Semua mesyuarat ini dihadiri pemegang taruh utama termasuk JPS, PBT, Pejabat Daerah/Tanah, TNB, JKR serta agensi keselamatan bagi memastikan koordinasi penuh antara jabatan.
Izham berkata fokus pertama kerajaan negeri adalah memastikan semua aset hidromekanikal berada pada tahap siap siaga. Selangor kini mempunyai 353 pintu air, 27 rumah pam submersible, 26 skru pam, 115 pam bergerak berkapasiti tinggi serta 34 pam bergerak separa kekal yang ditempatkan di lokasi projek belum siap.
“Apabila projek siap, pam separa kekal ini akan dialihkan. Kesemua aset berada dalam keadaan berfungsi dan siap siaga,” jelasnya. JPS turut mengaktifkan pasukan pemantauan cuaca Monsun Timur Laut, memantau stesen talimetri, siren dan CCTV banjir yang boleh diakses umum melalui portal Info Banjir JPS Selangor.
Bagi intervensi segera, kerajaan negeri telah meluluskan 127 projek quick win bernilai RM27.94 juta melibatkan pengorekan sungai dan kolam takungan, pengukuhan ban serta pembinaan outlet termasuk flap gate.
“Sebahagian besar kerja ini telah siap dalam masa dua bulan,” kata Izham, sambil menjelaskan bahawa beliau sendiri telah turun padang melakukan libat urus bersama PBT untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.
Selain langkah segera, Selangor turut melaksanakan 348 projek mitigasi besar menggunakan dua sumber peruntukan utama. Sebanyak 50 projek mitigasi bernilai RM114.1 juta melalui peruntukan negeri melibatkan pengukuhan tebing sungai, penyenggaraan sungai dan pantai serta kerja naik taraf rumah pam dan pintu air. Manakala 171 projek bernilai RM14.489 juta melalui peruntukan Persekutuan melibatkan pemuliharaan sungai dan pembinaan struktur kawalan air di seluruh daerah, khususnya lima daerah pesisir pantai. Menurut Izham, sebahagian projek kini dalam pelaksanaan dan beberapa telah disiapkan.
Kerajaan negeri turut memberi tumpuan terhadap pemantauan kawasan hotspot banjir, kawalan kunci air ketika air pasang besar serta memastikan semua aset banjir sentiasa berada dalam keadaan operasi. Pelaksanaan penyelenggaraan perairan tak bertuan yang diumumkan sebelum ini juga akan diteruskan pada 2026 dengan peruntukan RM5 juta.

Dalam masa sama, Selangor turut memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Selangor River Story (SORS) yang menghubungkan 185 kolam dan tasik sebagai rangkaian tadahan bagi mitigasi banjir serta penyediaan air ketika kemarau. Turut dilaksanakan ialah penggunaan teknologi moden seperti nature-based solutions, konsep Sponge City, modular tank system dan panel serba guna (SPS) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026. Teknologi ini telah mula digunakan di Taling Jaya dan akan diperluaskan ke kawasan lain.
Dengan pelaksanaan ratusan projek mitigasi, penambahbaikan aset hidromekanikal serta penggunaan teknologi adaptif baharu, kerajaan negeri yakin Selangor kini berada pada tahap kesiapsiagaan yang lebih kukuh menghadapi monsun dan risiko banjir tahun ini.