Kerajaan Negeri bertekad memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri selain hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian Islam.
Dato’ Menteri Besar berkata pentadbiran negeri juga berusaha demi kesejahteraan semua rakyat berbilang bangsa dan agama sekali gus memelihara perpaduan yang terbina sebagai kerukunan rakyat.
“Selangor telah melalui proses demokrasi menerusi pilihan raya negeri pada Ogos lalu. Alhamdulillah ia berlangsung dengan aman, tenteram dan stabil.
“Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab dan memilih Kerajaan Perpaduan untuk terus mentadbir negeri. Gabungan berbilang kaum dan agama ini membuktikan bahawa rakyat ingin melihat perancangan dan gagasan yang telah dibentang terus dilaksana demi kemakmuran negeri.
“Patik mewakili Kerajaan Perpaduan yang mentadbir Selangor menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan institusi Raja Melayu. Kerajaan Perpaduan bertekad terus memelihara keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang Undang Tubuh Negeri serta hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.