SelangorToday

SELANGOR PERUNTUK DANA RM3 JUTA NAIK TARAF 20 MASJID PENGURUSAN TAHUN 2025

Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Selangor memperuntuk RM3 juta bagi menaik taraf 20 lagi masjid kariah kepada masjid pengurusan tahun depan, menurut EXCO agama.

Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sepanjang tahun ini, 20 masjid kariah berjaya dinaik taraf supaya tadbir urus lebih efisyen, berintegriti, harmoni dan dapat diimarahkan dengan baik oleh penduduk.


Menurutnya, usaha itu juga mendapat reaksi positif jemaah yang merasakan dengan pengurusan baharu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), masjid di kawasan mereka kini lebih meriah, tenang dan bebas daripada unsur hasutan agama dan politik yang melampau.


“Hasilnya, lebih ramai anak kariah selesa mengunjungi masjid pada setiap waktu solat.


“Sepanjang setahun pentadbiran saya, pengurusan masjid adalah perkara yang paling diutamakan kerana masjid harus menjadi pusat penyatuan Ummah yang bersih daripada unsur penyelewengan, kebencian, perpecahan dan politik kepartian,” katanya di Facebook.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan 2025 memaklumkan, masjid pengurusan adalah satu kaedah pentadbiran dan pengurusan masjid yang diwujudkan di bawah Subseksyen 104(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003.


Melalui kaedah ini, masjid akan dikendalikan oleh seorang pengurus, seorang penolong Pengurus dan dua pembantu pengurus. -SelangorKini

Exit mobile version