
Kerajaan Negeri Selangor terus menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan, untuk melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Menerusi Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2025, Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak 1,000 ekor kambing dan 700 ekor lembu kepada surau, masjid dan badan-badan masyarakat seluruh negeri sebagai usaha mempermudah pelaksanaan ibadah korban bagi mereka yang tidak berkemampuan.
Menurut Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, program ini memasuki tahun ketujuh penganjurannya secara berturut-turut dan merupakan antara inisiatif kebajikan teras dalam agenda “Kita Selangor”.
“Dengan semangat Kita Selangor, sumbangan ini memberi peluang kepada mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban tetapi masih belum mampu. Kita mahu pastikan ibadah ini dapat dilakukan dengan lancar, tersusun dan menyeluruh,” ujar beliau dalam rakaman video yang ditayangkan semasa Majlis Perasmian dan Penyerahan Baucar Program Sumbangan Korban di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi, menyifatkan program ini sebagai inisiatif penting dalam menyantuni golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.
“Program ini merupakan inisiatif penting dalam memastikan golongan asnaf serta mereka yang memerlukan turut merasai keberkatan sambutan Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa usaha seperti ini menyumbang kepada pengukuhan semangat kebersamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat.
“Usaha ini bukan sahaja memperkukuh semangat kebersamaan dan kepedulian dalam masyarakat, malah memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.