Kehidupan pascapandemik Covid-19 ditambah pula kekalutan ekonomi global memberi cabaran besar kepada kesihatan mental individu, menurut Dato’ Menteri Besar.
Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri tidak mengabaikan masalah itu dengan menyediakan bantuan kaunselor secara percuma menerusi inisiatif talian Selangor Mental Sihat (Sehat).
“Bantuan disediakan bagi memberi sokongan secara tidak langsung. Isu kesihatan mental tidak wajar dipandang ringan.
“Masyarakat sejahtera memerlukan asas kesihatan mental yang kuat supaya dapat maju ke hadapan. Inilah antara fokus utama Kerajaan Negeri membangunkan negeri,” katanya di Facebook.
Inisiatif Sehat dalam aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) merupakan usaha terbaru Kerajaan Negeri untuk membantu warga Selangor menangani isu kesihatan mental.
Kaunselor Sehat boleh dihubungi di talian 1700-82-7536 atau 1700-82-7537, aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau layari http://www.drsitimariah.com/sehat.