Sejak varian baharu dikesan di negara ini pada 3 Disember lalu, Omicron tersebar pantas hingga merekodkan lebih 31,000 kes pada 24 Februari. Walau jumlah jangkitan hariannya tinggi tetapi lebih 99.5 peratus pesakit berada dalam kategori 1 (tanpa gejala) dan 2 (gejala ringan).
Sesuai dengan jumlah penduduknya sebanyak 6.56 juta orang, Selangor sering mendahului jumlah kes Covid-19 termasuk jangkitan varian membimbangkan itu. Namun, Kerajaan Negeri telah menunjukkan rekod kejayaannya menangani virus berbahaya itu sejak 2020 dengan program suntikan vaksin dan pakej bantuan untuk pelbagai lapisan masyarakat.
Menyedari penduduknya padat, kira-kira 20.1 peratus warga Malaysia, Selangor selalu bersiap sedia lebih awal bagi memerangi Covid-19 termasuk sewaktu kes memuncak tahun lepas. Berkat keberkesanan program suntikan pelalian termasuk program Vaksin Selangor (Selvax), sehingga kini, serangan Omicron dapat dibendung ke tahap yang tidak merisaukan.