SelangorToday

SELANGOR RANGKA DASAR BAHARU PESISIR PANTAI AMBIL KIRA KENAIKAN PARAS AIR LAUT- IZHAM

Satu dasar baharu akan dirangka berhubung rancangan pembangunan di kawasan pesisir pantai di Selangor dengan mengambil kira aspek kenaikan paras air laut, kata EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim.

Beliau berkata rangka berkenaan akan dilaksanakan bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) dengan kerjasama EXCO Kesihatan Awam dan Alam Skitar Jamaliah Jamaluddin.

Katanya yang juga Pengerusi AMANAH Selangor, perkara itu juga turut diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan mengambil kira kesan kenaikan paras air laut yang dijangka memberi kesan besar selepas ini.

“Saya telah bermesyuarat menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SEJAM) untuk melihat kesan jangka panjang kenaikan paras air laut yang dijangka beri kesan besar kepada kawasan pesisir pantai kita termasuk di Klang,” katanya ketika mengulas persediaan infrastruktur oleh Kerajaan Negeri bagi menghadapi fenomena air pasang besar pada hujung tahun.

ADN Pandan Indah itu berkata demikian selepas melancarkan Pesta Buah-buahan Selangor yang julung kali diadakan selama dua hari.

Izham berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku ban pecah seperti di Sepang dan Hulu Langat, serta telah menggantikan batu granit rock armor dan geo-bag bagi mengukuhkan struktur ban di kawasan itu.

Exit mobile version