Garis panduan khas sekolah agama persendirian di negeri ini akan dirangka bagi memudahkan pusat pendidikan itu beroperasi tanpa mengabai aspek keselamatan pelajar.
Menjelaskan Selangor negeri pertama berbuat demikian, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata panduan berkenaan tidak sama dengan syarat kelulusan pusat tahfiz.
Beliau menjelaskan banyak sekolah agama sedemikian beroperasi di bangunan komersial sekali gus tertakluk peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyebabkan kelulusan sukar diperoleh.
“Kita akan adakan perbincangan lanjut dengan semua PBT dan pihak berkepentingan untuk wujudkan garis panduan. Ini yang pertama di Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan lebih sejam bersama Gabungan Sekolah Islam Selangor (Gasis) di bangunan pentadbiran negeri di sini.
Mohd Zawawi menambah Kerajaan Negeri sebelum ini giat menjalankan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor mulai 2019.
Katanya, usaha itu bagi meningkatkan keselamatan pusat pendidikan agama susulan tragedi yang meragut 23 pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat pada September 2017.
“Isunya berkaitan keselamatan. Mereka ini generasi pewaris. Siapa pun yang memerintah selepas ini, pastinya kita mahu ada pelapis yang lebih baik dan berjaya,” katanya.
Pada 16 Jun lalu, Mohd Zawawi berkata garis panduan pusat pendidikan agama ditambah baik bagi mempermudah operasi institusi tersebut seterusnya meningkatkan tahap keselamatan murid.
Katanya, tempoh dua tahun mulai 1 Januari 2021 diberi kepada pengusaha untuk memenuhi garis panduan berkenaan selain mempertimbang lanjutan tiga tahun kepada 416 sekolah agama.