[DN Selangor] — Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abd Rashid hari ini menggesa kerajaan negeri mengangkat pendekatan Pelaburan Bernilai Sosial sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan Selangor, selaras dengan perbahasan Belanjawan 2026.
Menurutnya, walaupun tumpuan kerajaan negeri terhadap industri aeroangkasa, ekonomi digital dan pembangunan pusat data telah berjaya membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta meningkatkan kompetensi tenaga kerja, adalah penting untuk memberi perhatian setara kepada manfaat sosial yang terhasil daripada pelaburan tersebut.
“Selain penciptaan pekerjaan, terdapat potensi besar dari segi manfaat dan pulangan sosial yang selama ini kurang diberi perhatian,” ujar beliau.
Mariam mencadangkan agar kerajaan negeri mengadaptasi indikator Social Return on Investment (SROI) untuk menilai pelaburan bukan sahaja dari segi keuntungan ekonomi, tetapi juga impak sosialnya. Antara syarat yang dicadangkan termasuk:
- keutamaan mengambil pekerja wanita dan OKU,
- penyediaan latihan semula kepada warga emas produktif,
- serta sokongan berstruktur terhadap ekonomi penjagaan melalui komponen CSR agensi pelaksana seperti WBS dan YANIS.

Dalam masa sama, Mariam menegaskan bahawa penyusunan semula keutamaan negeri dalam Belanjawan 2026 jelas menunjukkan kerajaan Madani di Selangor bertindak responsif dan proaktif berasaskan realiti ekonomi semasa.
Beliau berkata langkah ini membuktikan kerajaan negeri bukan sahaja mampu mengurus cabaran semasa tetapi turut bersiap siaga menghadapi ketidaktentuan ekonomi pada masa akan datang.
“Tindakan kerajaan negeri secara langsung menolak tohmahan bahawa kerajaan mengabaikan penderitaan rakyat. Dakwaan seperti ‘pembangunan menindas kehidupan’ yang disebut oleh Yang Berhormat Taman Medan adalah tidak tepat dan amat mengelirukan.”
Mariam menegaskan kenyataan tersebut menunjukkan sama ada YB berkenaan tidak meneliti keseluruhan perancangan kerajaan negeri atau memilih untuk mengabaikan usaha sebenar yang telah dan akan dilaksanakan bagi memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
Beliau yakin pendekatan pelaburan bernilai sosial melalui SROI bukan sahaja memperkukuh pertumbuhan ekonomi negeri, malah memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan dalam setiap pembangunan yang dirancang.