SHAH ALAM, 25 Nov — Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan pelaksanaan bantuan segera kepada mangsa banjir susulan keadaan banjir yang melanda lima daerah — Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Dalam kenyataan rasmi hari ini, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa sehingga jam 11.30 pagi, seramai 2,784 mangsa telah ditempatkan di 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima daerah terlibat.
Hujan luar jangka jejas lapan negeri
Menurut beliau, peningkatan paras air berpunca daripada taburan hujan yang melebihi jangkaan sehingga turut memberi kesan kepada lapan negeri di seluruh negara.
RM500 kepada keluarga terkesan, bantuan khas calon SPM
Sebagai bantuan awal, kerajaan negeri akan menyalurkan RM500 kepada 750 keluarga terkesan yang disahkan berdaftar di daerah masing-masing.
Daripada jumlah mangsa yang dipindahkan, 221 merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mula menduduki peperiksaan hari ini. Bagi memastikan kelancaran pergerakan mereka, Pejabat Daerah menyediakan pengangkutan percuma dari PPS ke pusat peperiksaan.
Yayasan MBI turut menggerakkan bantuan segera bagi pelajar yang kehilangan peralatan menulis dan digital akibat banjir supaya urusan peperiksaan mereka tidak terganggu.
Kerajaan percepat usaha tebat banjir
Dato’ Seri Amirudin turut mengarahkan usaha tebatan banjir di kawasan tumpuan dipercepatkan, dengan pemantauan rapi oleh EXCO Kemajuan Infrastruktur, YB Datuk Izham Hashim.
Ucapan penghargaan dan doa keselamatan
Dalam kenyataan sama, beliau menzahirkan doa agar seluruh rakyat Selangor berada dalam lindungan Allah SWT, khususnya mangsa yang kini berada di PPS. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang bekerja keras menyalurkan bantuan.
Kenyataan itu dikeluarkan pada 25 November 2025.