SHAH ALAM, 24 Julai – Kerajaan Negeri Selangor menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung peningkatan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta sebelum ini.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata langkah Kerajaan Persekutuan itu dijangka memberi lebih banyak akses kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan, selari dengan usaha negeri menerusi program Jualan Ehsan Rahmah (JER).
“Kami menyambut baik peluasan program Jualan Rahmah MADANI ke seluruh negara kerana ia sejajar dengan pelaksanaan Jualan Ehsan Rahmah oleh Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). Usaha ini terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat yang terkesan dengan kos sara hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sejak dilaksanakan pada tahun 2022, program jualan murah di Selangor terus mendapat sambutan menggalakkan, dan tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta bagi meneruskan inisiatif tersebut.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam satu pengumuman pagi tadi memaklumkan peruntukan program Jualan Rahmah MADANI ditingkatkan dua kali ganda bagi tahun 2025 kepada RM600 juta. Penambahan itu bertujuan memperluas liputan lokasi serta menambah kekerapan program yang dijadualkan berlangsung di kesemua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.
Jualan Rahmah MADANI merupakan salah satu inisiatif utama Kerajaan Persekutuan dalam membantu meringankan beban rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup melalui penawaran barangan asas pada harga subsidi.