Kerajaan negeri Selangor menggalakkan lebih ramai golongan B40 dan M40 menceburkan diri dalam perniagaan francais kerana ia memberi sumbangan yang positif terhadap pemulihan dan pengukuhan ekonomi pasca-pandemik. Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor Rodziah Ismail berkata sistem perniagaan francais adalah salah satu kaedah pengedaran produk dan perkhidmatan yang sistematik, mempunyai tahap pengurusan yang efisien serta produktiviti dapat ditingkatkan melalui pemindahan pengetahuan dan teknologi sekali gus dapat memenuhi kehendak dan keperluan pengguna.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Perasmian Program Jelajah Francais Mikro dan Mampu Milik (Jelajah F3M) peringkat negeri Selangor baru-baru ini. Program Jelajah F3M Selangor siri keempat itu merupakan program anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Rodziah berkata program itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan francais di Selangor menerusi pemberian geran di bawah Program F3M, kerajaan Selangor turut memberi bantuan melalui skim HIJRAH Selangor, Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan inisiatif tawaran ruang niaga oleh pihak berkuasa tempatan di Selangor.