SelangorToday

SELANGOR SASAR KEDUDUKAN TIGA TERATAS DI SUKMA 2024 – EXCO

Kontinjen Selangor menyasarkan berada pada kedudukan tiga teratas dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 di Sarawak yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata persiapan atlet negeri kini berada tahap terbaik dan secara agresif menjalani latihan dengan pemantauan rapi daripada segi kecergasan serta mental bagi merangkul sebanyak mungkin pingat emas.

“Insya-Allah kita bersedia untuk mengharungi kejohanan SUKMA 2024 di Sarawak pada Ogos ini dan akan berikan yang terbaik. Mudah-mudahan Selangor dapat catatkan keputusan cemerlang dan lebih tinggi dari edisi sebelum ini.

“(Kita sasarkan) tiga teratas tapi kalau dapat juara itu bonus. Cuma (yang pasti) kita akan bekerja keras untuk mencipta seberapa banyak pingat emas,” katanya ditemui selepas program Karnival Kesihatan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di Dewan Jenjarum, Seksyen 11.

Ditanya mengenai sasaran pingat kontinjen Selangor beliau berkata pihaknya masih menanti pengumuman secara spesifik kategori sukan yang dipertandingkan sebelum boleh menentukan unjuran sasaran pingat.

“Setakat ini masih belum boleh buat unjuran (sasaran) pingat sebab di peringkat sekretariat SUKMA masih belum diumumkan secara spesifik berapa banyak kategori sukan dipertandingkan. Secara umum sukan yang dipertandingkan telah diumum tetapi kategori spesifik kita masih belum dapat maklumat.

“Antara sukan atau acara yang dilihat bakal menyerlahkan atlet kontinjen Selangor termasuklah olahraga, akuatik, boling padang, menembak dan memanah,” katanya.

Sebelum ini Mohd Najwan berkata kontinjen Selangor berdepan cabaran susulan tuan rumah menganjur 37 acara berbanding jumlah kebiasaan sekitar 20 acara di temasya sebelum ini.

Selangor pernah menjuarai temasya sukan berkenaan di Sarawak pada 2016 dan Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM8 juta sebagai persediaan kontinjen negeri menghadapinya. – SelangorKini

Exit mobile version