
Sejumlah RM2.73 juta diperuntuk bagi bayaran sewa rumah mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana itu disalurkan kepada 455 keluarga dengan masing-masing menerima RM6,000 bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini.
“Buat masa ini, bantuan sewaan ini telah diserahkan tiga fasa dengan keseluruhannya 214 menerimanya, selebihnya sedang menunggu dokumen lengkap termasuk kad pengenalan.
“Kita beri bantuan tiga bulan pertama dahulu kerana mungkin ada sebahagian kediaman selesai dibaik pulih kurang daripada tempoh itu.
“Sekiranya lepas tempoh itu, mereka perlu menyewa lagi, kerajaan akan tambah lagi selagi proses baik pulih atau bina semula kediaman belum selesai,” katanya pada majlis penyerahan bantuan berkenaan di Foyer SUK hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin memaklumkan kediaman yang mengalami kerosakan kecil dianggarkan bawah RM30,000 boleh melakukan pembaikan sendiri terlebih dahulu dan membuat tuntutan sama ada kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau ketua kampung.

“Pertama sekali mereka boleh buat tuntutan kepada PBT atau kedua hantar kepada ketua kampung yang mana ia akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya secara mingguan.
“Bagi bina semula, Sime Darby akan lakukan di Putra Harmoni selaku pemaju manakala Kampung Kuala Sungai Baru pula oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Pembinaan semula kediaman merangkumi kemudahan asas seperti sistem pendawaian, lampu, kipas yang boleh didiami semula, bagi aksesori tambahan tidak akan dibiayai,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata seramai 396 ketua isi rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran di Putra Heights layak menerima bantuan sewa rumah selama enam bulan dengan bayaran RM2,000 sebulan.
Kebakaran pada 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur lebih daripada 40 peratus, 81 rumah lagi separa musnah, 57 rumah terkesan tetapi tidak terbakar, dan 218 rumah tidak terjejas, termasuk di Kampung Tengah, Puchong.