Site icon SelangorToday

Selangor Sedia Tambah Peruntukan Pastikan Sekolah Ditimpa Bencana Kembali Pulih

AMIRUDIN

KUALA LUMPUR, 23 Oktober – Kerajaan Negeri Selangor bersedia menambah peruntukan bagi memastikan kerja-kerja baik pulih sekolah yang rosak akibat ribut di Sijangkang, Kuala Langat dapat diselesaikan dengan sempurna dan selamat untuk digunakan semula.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerja pemulihan terhadap empat sekolah yang terjejas dijangka siap dalam tempoh tiga bulan dengan anggaran kos keseluruhan melebihi RM10 juta.

Empat sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, yang melibatkan lebih 6,000 pelajar.

Menurut beliau, kerosakan utama melibatkan struktur bumbung dan kekuda bangunan, dengan pembiayaan awal sebanyak RM10.1 juta disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Pihak JKR telah memulakan kerja-kerja awalan, termasuk pembersihan kawasan sekolah yang menelan kos RM1.9 juta. Namun, kerja pendawaian dan penggantian peralatan yang rosak akibat air masuk akan memerlukan tambahan peruntukan,” katanya.

Amirudin turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan pelajar dan guru.

“Jika ada keperluan tambahan, kita akan pertimbang segera supaya keselamatan bangunan dan kelancaran sesi persekolahan tidak terganggu,” jelas beliau selepas meninjau keadaan di SMK Sijangkang Jaya dan mendengar taklimat bencana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

Setakat ini, kerja baik pulih di SMK Sijangkang Jaya telah mencapai 90 peratus siap, dan bangunan sekolah tersebut telah diisytiharkan selamat digunakan bagi membolehkan 400 calon SPM kembali menjalani sesi persekolahan menjelang peperiksaan pada 2 November ini.

Bagi tiga sekolah rendah yang lain, proses pembelajaran dijangka diteruskan secara dalam talian sehingga kerja baik pulih selesai dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebelum ini, Yayasan MBI telah menyalurkan bantuan segera sebanyak RM400,000 bagi membaik pulih sebahagian sekolah dan rumah penduduk yang terjejas akibat ribut kuat di Sijangkang dan Meru.

Amirudin menegaskan, komitmen kerajaan negeri adalah jelas — memastikan setiap sekolah yang ditimpa bencana dapat kembali beroperasi dalam keadaan selamat, selesa dan kondusif untuk pelajar serta guru.

Exit mobile version