Kerajaan Negeri membuat persediaan awal mendepani banjir termasuk menyimpan bekalan makanan dan keperluan harian untuk mangsa bencana.
EXCO kebajikan masyarakat berkata pasukan Sukarelawan Selangor (Serve) juga siap siaga untuk digerakkan membantu pihak berkuasa sekiranya khidmat diperlukan.
“Persiapan dilakukan sejak awal bulan. Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyediakan keperluan antaranya toto dan selimut untuk memastikan kebajikan mangsa terjaga.
“Kita juga adakan simulasi pengurusan bencana melibatkan penghulu mukim, ketua kampung dan pegawai daerah pada dua minggu lepas. Perkara ini penting kerana mereka antara pihak pertama datang membantu jika berlaku bencana.
“Minggu lepas pun ada berlaku kejadian ribut di Beranang. Bagaimanapun kita dapat santuni mangsa kurang 12 jam (hasil simulasi),” kata Anfaal Saari.
Kejadian ribut yang melanda Beranang pada 19 September mengakibatkan 96 kediaman penduduk terjejas membabitkan 370 mangsa.
Mereka terdiri dari Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sungai Jai, Taman PKNS Beranang dan Kampung Sesapan Batu Rembau.
Susulan itu, MBI segera menghulur bantuan kepada keluarga terjejas dengan menyumbang toto, tuala mandi, air minuman, mi segera, roti dan biskut.