SelangorToday

SELANGOR SIAP SIAGA KEPERLUAN MENUJU NEGARA TUA – ANFAAL

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor sedang merangka perancangan yang menyeluruh bagi menghadapi fasa negara menua yang diunjurkan akan berlaku kepada Malaysia menjelang tahun 2040. Malah tambah Anfaal lagi, Selangor yang mempunyai populasi warga emas berjumlah 1.3 juta orang memerlukan perhatian serius daripada Kerajaan Selangor bagi memastikan tiada kelompok yang dipinggirkan. Beberapa inisiatif telah diperkenalkan bagi membantu golongan warga emas seperti baucer Jom Shopping dan Khairat Kematian yang telah memberi manfaat kepada 500 ribu warga emas. Oleh itu, dalam Rancangan Selangor 1, Kerajaan sedang menyediakan Selangor kearah menghadapi negara tua dengan menambah pelbagai inisiatif untuk warga emas.

Anfaal yang juga Ketua Angkatan Wanita AMANAH Gombak menjelaskan, Kerajaan Selangor juga tidak melupakan pihak yang berperanan sebagai penjaga kepada kelompok warga emas dan Orang Kelainan Upaya(OKU). Maka penambahan portfolio Ekonomi Penjagaan dalam struktur pentadbiran Selangor akan diharap dapat membantu kelompok penjaga atau ‘caregivers’ yang menjadi tulang belakang institusi keluarga. Beliau juga membuka tawaran kerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan inovasi sosial dalam bidang penjagaan.

Beliau ditemui dalam Majlis Perasmian Seminar Keluarga Negeri Selangor 2023 bertemakan ‘Keluarga Akar Masyarakat’ di Bangi Resort Hotel, Selangor. Dalam ucapan beliau juga turut menegaskan, kedudukan Selangor ditangga ke-13 daripada 17 buah negeri dalam Laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2019 amat membimbangkan dengan skor sebanyak 7.68 daripada 10. Maka dalam RS-1, Kerajaan Selangor mensasarkan Selangor mencapai skor pada skala 8.0 menjelang tahun 2025. Ia seiring dengan teras strategik dalam RS-1 iaitu Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial yang perlu dicapai dalam tempoh RS-1 berjalan. – SelangorToday

Exit mobile version