SelangorToday

SELANGOR TAMBAH BAIK PRASARANA TEMPAT WARISAN DAN PELANCONGAN – BORHAN

 Kerajaan Selangor tekad mahu memelihara dan memulihara khazanah warisan negeri sekali gus memacu sektor pelancongan domestik.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata usaha itu bagi memastikan khazanah warisan dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Menurutnya, bagi memastikan agenda itu berjaya Kerajaan Negeri bakal mewartakan bangunan Istana Bandar, Pusat Kusta Negara, kapal korek bijih timah di Dengkil dan beberapa bangunan bersejarah.

“Aset warisan seperti Istana Bandar antara produk pelancongan penting di negeri ini. Terima kasih pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana meluluskan permohonan untuk memulihara istana lama ini.

“Proses baik pulih (termasuk kajian kerosakan dan kerja-kerja penyediaan Pelan Pengurusan Pemuliharaan) ini akan mengambil masa dalam tiga atau empat tahun sebelum ia boleh dilawati oleh para pelancong,” katanya hari ini.

Ditemui selepas merasmikan majlis penutup Karnival Jejak Warisan Merdeka di Istana Bandar di sini, Borhan berkata Perbadanan Adat Melayu & Warisan Negeri Selangor (PADAT) juga akan mengenal pasti beberapa lokasi pelancongan atau warisan yang memerlukan petunjuk arah.

“Namun, kita akan ikut saranan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) bahawa sebelum promosi dibuat kita akan memastikan prasarana di satu-satu kawasan terpelihara.

“Kita perlu memastikan kemudahan seperti parkir, tandas berada dalam keadaan baik terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, Borhan turut melancarkan buku ‘Pemetaan Warisan Bandar-Bandar Diraja Di Malaysia’ terbitan bersama Jabatan Warisan Negeri dan Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor.

Buku berkenaan berkisar teoritikal, tipologi, komponen, elemen, karakter dan nilai warisan serta mitos yang melingkari sembilan bandar diraja iaitu Bandar Diraja Klang di Selangor, Bandar Diraja Arau (Perlis), Bandar DiRaja Kuala Kangsar (Perak), Bandar Diraja Seri Menanti (Negeri Sembilan).

Selain itu, Bandar Diraja Pekan (Pahang), Bandar Diraja Anak Bukit (Kedah), Bandar Maharani Muar (Johor), Bandar Diraja Chendering (Terengganu) dan Bandar Diraja Kubang Kerian (Kelantan).

Exit mobile version