SelangorToday

SELANGOR TAMBAH KAWASAN VAN TRANSIT, TUMPU KAWASAN PADAT PELAJAR DAN ZON PENGANGKUTAN AWAM

Kerajaan Negeri memuktamadkan kawasan tambahan bagi perkhidmatan van transit (DRT) Mobiliti Selangor dalam tempoh sebulan lagi.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata pihaknya bercadang untuk menumpu di kawasan yang berkepadatan pelajar dan zon pengangkutan awam.

“Kita perlu tunggu tamat tempoh fasa pertama terlebih dahulu dan selepas buat analisa kita akan melihat kepada bajet untuk tambahan kawasan kira-kira sebulan lagi.

“Sasaran tumpuan lokasi adalah kawasan berdekatan pengangkutan awam utama seperti rel dan stesen bas bagi melengkapi perbatuan pertama dan terakhir (first-and last mile) sistem pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mesyuarat bersama pihak berkepentingan berkaitan projek mitigasi banjir kilat di kawasan Puchong di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurut Sze Han, sambutan terhadap perkhidmatan DRT memberangsangkan sejak dilancarkan tahun lalu apabila menerima lebih 1,000 pengguna setiap bulan.

Mula diperkenal sejak 30 November tahun lalu, perkhidmatan DRT beroperasi di lapan lokasi terpilih yang berkepadatan tinggi dan mempunyai laluan sempit.

Kawasan terbabit adalah di Puchong, Subang Jaya, Ampang, Petaling Jaya Selatan, Petaling Jaya Utara, Hulu Kelang, Sungai Buloh dan Universiti Putra Malaysia (UPM)-Serdang. – SelangorKini

Exit mobile version