Kerajaan Negeri Selangor menawarkan Geran Pusat Jagaan sehingga RM5,000 kepada pengusaha taska, pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi memudahkan proses pendaftaran dengan pihak berkuasa.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, inisiatif itu disediakan bagi menampung kos pendaftaran, termasuk penyediaan pelan bangunan, pengubahsuaian dan pematuhan syarat-syarat agensi teknikal.
“Permintaan terhadap pusat jagaan yang sah semakin meningkat.
“Oleh itu, geran ini diperkenalkan bagi memastikan golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas, dan OKU mendapat penjagaan yang berkualiti serta selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Menurut Anfaal, usaha itu selaras dengan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) yang bertujuan memartabatkan peranan penjaga dan melindungi kumpulan rentan.“
Kerajaan Negeri Selangor komited memastikan rakyat, khususnya golongan rentan, mendapat perkhidmatan penjagaan yang berkualiti dan selamat,” tambahnya.Sehubungan itu katanya, pengusaha pusat jagaan yang memenuhi syarat ditetapkan diseru memanfaatkan geran tersebut dalam meningkatkan taraf khidmat penjagaan yang memenuhi piawaian ditetapkan.
Katanya, empat syarat utama ditetapkan bagi permohonan geran itu iaitu;
1) Pengusaha merupakan perniagaan, NGO, Pusat Dalam Komuniti (PDK) atau Pusat Aktiviti Warga Emas yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS) Negeri Selangor sekurang-kurangnya enam bulan sebelum permohonan.
2) Lokasi premis pusat jagaan atau taska berada di Selangor.
3) Pusat jagaan menjalankan operasi bagi kanak-kanak, OKU, atau warga emas.
4) Pengusaha menunjukkan komitmen dengan mendaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan mengemukakan dokumen sokongan diperlukan.
Permohonan boleh dibuat melalui laman sesawang https://gpj.selangkah.my.