Shah Alam, 22 Mei 2025 – Kerajaan Negeri Selangor memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap mana-mana peniaga yang ingkar arahan untuk menurunkan semua papan iklan dan promosi berkaitan produk rokok elektronik (vape).
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan termasuk pengeluaran saman dan denda akan dilaksanakan sekiranya arahan ini tidak dipatuhi dalam tempoh yang ditetapkan.
“PBT telah diarahkan untuk mengeluarkan notis kepada peniaga vape supaya menurunkan semua bentuk iklan secara sukarela. Sekiranya mereka ingkar, tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi akan dikenakan,” katanya dalam satu sidang media selepas lawatan rasmi ke Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan lesen khas untuk iklan vape, menjadikan semua papan tanda yang dipasang oleh peniaga sebagai tidak sah dan tanpa kebenaran.
“Di Klang sahaja, kita telah kenal pasti 45 papan iklan vape. Jika dikira di seluruh 12 PBT, jumlahnya mungkin mencecah ratusan. Semua ini mesti diturunkan serta-merta,” katanya lagi.
Arahan tegas ini menyusul selepas keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) dan mesyuarat penyelarasan bersama Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin, yang membincangkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan vape dalam kalangan generasi muda di negeri ini.
PBT di seluruh Selangor sebelum ini juga telah diarahkan untuk menyita dan merampas sebarang bentuk iklan produk vape sebagai langkah awal kawalan.
Walaupun kerajaan masih meneliti dasar pengharaman penjualan vape, Datuk Ng berkata usaha permulaan yang jelas ialah mengurangkan sebaran promosi dan pengaruh visual produk ini.
“Kita belum muktamadkan dasar larangan penjualan, tetapi kita akan kawal dahulu apa yang dapat dilihat oleh masyarakat, terutamanya golongan muda. Mereka mudah terpengaruh dengan iklan berwarna-warni dan promosi yang mengelirukan,” katanya.
Beliau juga mengakui bahawa walaupun iklan diturunkan, wujud cabaran dari aspek penjualan secara dalam talian atau melalui rangkaian yang sedia ada.
“Sekarang ini, vape sudah jadi fenomena. Bukan sahaja lelaki, malah perempuan pun ramai terlibat. Kita mesti bertindak dari pelbagai sudut, dan pengawalan iklan adalah permulaan penting,” tegasnya.
Kerajaan Negeri menyeru semua peniaga untuk memberi kerjasama penuh bagi menjayakan usaha ini demi kesihatan awam dan kesejahteraan sosial masyarakat Selangor. PBT akan digerakkan secara berperingkat dan tindakan akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana premis yang terus melanggar arahan ini.