SelangorToday

SELANGOR TEKAD PASTIKAN PENGHUNI RUMAH BERTINGKAT NIKMATI HIDUP SELESA – BORHAN

Kerajaan Negeri sentiasa beriltizam bagi memastikan penghuni perumahan strata menikmati kehidupan yang selesa dan kondusif.

EXCO perumahan berkata Kerajaan Negeri menganjur pelbagai program bermanfaat saban tahun bagi memastikan iltizam itu terlaksana.

Menurut Borhan Aman Shah, program yang direncana berunsur pendidikan, skim bantuan baik pulih serta beberapa program sokongan bagi memudahkan urus tadbir harian.

“Program pertama ialah program pendidikan. Ia dilaksana secara kolaborasi antara pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB).

“Selain itu, program baik pulih di bawah Skim Ceria pula telah dilaksanakan sejak 2011, dan sebanyak RM123.7 juta telah diperuntukkan pada 2023 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Perumahan Berstrata Terbersih dan Terindah Ampang Jaya 2023 di Jelatek di sini.

Borhan menambah, Kerajaan Negeri menawar program penggantian dan pemasangan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED) atau solar menerusi program Inisiatif Bangunan Hijau Ke Arah Kesejahteraan Bandar.

Jelasnya, program itu dapat membantu penjimatan tenaga elektrik dan pengurangan bayaran bil bulanan elektrik bangunan dalam satu tempoh jangka masa panjang.

“Ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi. Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang berminat boleh membuat permohonan di LPHS atau di pejabat COB, pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Rancangan Selangor Pertama (RS-1) antara lain memberi fokus untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.

Kempen sepanjang lima tahun itu melibatkan bangunan strata kediaman kerajaan pusat dan swasta, bangunan pejabat, hospital, sekolah, kolej, universiti, stadium, pasar, pusat membeli-belah serta kilang.

Exit mobile version