Kerajaan Perpaduan Selangor telah memperuntukan sejumlah RM21 juta bagi melaksanakan program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dalam tempoh sedekad sejak 2013. Berkata kepada media, Exco Pembasmian Kemiskinan Selangor, V.Papparaidu menjelaskan setiap tahun RM2 juta diperuntukan bagi melaksanakan program bantuan tersebut dengan peserta diberikan perkakas atau mesin berniaga mengikut perusahaan yang dijalankan.
Tambah beliau lagi, program bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 4,321 peserta terdiri daripada usahawan dan penjaja kecil. Berlaku peningkatan ketara bagi penerima bantuan ini merangkumi 334 peserta berpendapatan bawah RM3,000 berbanding 236 peserta tahun lalu. Harapan beliau agar bantuan yang telah berjaya membantu golongan usahawan dan penjaja untuk keluar daripada kepompong kemiskinan akan diteruskan dalam Belanjawan Selangor 2024.
Jelas beliau, pemberiaan bantuan dalam bentuk perkakas ini memang membantu peniaga kecil di Selangor. Malah Papparaidu bersedia untuk meneliti penerusan program bantuan ini dalam bajet yang akan datang. – SelangorToday