Kerajaan Negeri sedang meneliti kaedah yang lebih praktikal bagi menggantikan program jualan barangan murah, Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang dijadual berakhir Mei.
Exco Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata usaha itu diambil bagi memastikan program yang membantu rakyat berjimat dapat dilaksana dalam tempoh lama atau dikekalkan.
“Jelajah jualan barangan murah ini mungkin tidak akan dibuat lagi dan berakhir pada Mei. Kita akan ganti dengan kaedah baharu seperti konsep pek makanan.
“Bagaimanapun, semua ini diperingkat penelitian dan perlu lihat apa yang boleh menggantikan program jualan murah supaya dapat dikekalkan berbanding pemberian subsidi yang terhad pada tempoh tertentu sahaja,” katanya kepada Selangorkini.
Mengulas mengenai penambahan jenis barang di JER sempena Ramadan, Izham memaklumkan pihaknya tidak bercadang untuk menambahnya kerana enam barangan keperluan asas dijual sudah mencukupi.
“Untuk bulan puasa masih kekalkan program dan barangan dijual. Kita pernah cuba untuk menambah barangan seperti roti tetapi tidak boleh kerana mempunyai tarikh tamat tempoh.
“Namun setakat ini, enam barangan sudah mencukupi dan memenuhi keperluan harian serta sambutan diterima menggalakkan berdasarkan barisan panjang,” katanya.
Jualan barangan murah bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.
Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.