Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir. Izham Hashim memaklumkan bahawa Kerajaan Selangor menetapkan tiga kriteria untuk pemasangan lampu jenis LED berkuasa solar demi menyokong program pencahayaan Selangor. Menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri(ADN) Meru, Ustazah Mariam Abdul Rashid, Izham menjelaskan pertama lokasi yang dipilih merupakan lokasi yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik yang lengkap. Kedua, lokasi yang dipilih merupakan kawasan yang mempunyai masalah vandalisme yang tinggi.
Ketika soalan tambahan dikemukakan oleh ADN Sabak, Sallehen Bin Mukhyi berkaitan apakah masalah utama yang menyebabkan lampu-lampu jalan sekitar Sabak Bernam tidak berfungsi, Pengerusi AMANAH Selangor itu menjawab, masalah yang dihadapi disebabkan oleh kecurian kabel lampu jalan tersebut menyebabkan lampu jalan yang ada tidak dapat berfungsi. Sedangkan setiap jalan yang dibina, kontrak pembinaan akan diiringi dengan pemasangan lampu jalan. Namun atas faktor vandalisme tersebut, menyebabkan lampu jalan itu tidak berfungsi dan memerlukan tampungan daripada pemasangan lampu jenis LED berkuasa solar ini.
Dalam masa yang sama, Izham memaklumkan sejak tahun lalu hingga kini, kerajaan Selangor telah membuat 790 pemasangan lampu jenis LED berkuasa solar merangkumi seluruh Negeri Selangor berdasarkan tiga kriteria yang dinyatakan termasuk kriteria ketiga iaitu lokasi yang kerap berlaku kemalangan. Malah Izham menegaskan pelaksanaan lampu jenis LED berkuasa solar ini dapat memberi manfaat seperti mengelakan kes kecurian kabel dan tiadanya kos bil elektrik kecuali bajet 5 tahun sekali untuk penukaran bateri baharu. Izham menyeru ADN membuat aduan jika adanya jalan-jalan mempunyai masalah pencahayaan kepada pihak beliau selain makluman daripada ahli majlis dan ketua-ketua kampung. – SelangorToday